Songlap duit masjid
SHAH ALAM - Pelbagai taktik digunakan oleh pencuri untuk melakukan jenayah di mana sahaja waima di institusi agama seperti masjid dan surau dengan menyamar sebagai musafir untuk mengelirukan kakitangan masjid daripada mengesyaki tindakan buruk mereka itu. Kebanyakan penyamaran itu dilakukan bagi membolehkan mereka berehat dan bermalam di masjid untuk memudahkan mereka mencuri harta benda masjid terutamanya tabung masjid dan sebagainya. Nazir Surau An Nur, Seksyen 20, Samion Nordin berkata, pihaknya mengenal pasti taktik itu digunakan untuk mengaburi mata kakitangan masjid supaya membenarkan mereka tinggal di masjid. “Selalunya, mereka akan memaklumkan mereka adalah musafir dan berada di masjid atau surau untuk berehat dan bermalam kerana tidak mempunyai tempat tinggal serta sebatang kara serta akan bermalam beberapa hari. “Malangnya, selepas dua atau tiga hari berada di masjid mereka akan menghilangkan diri dan kakitangan masjid akan menyedari harta benda masjid dan tabung serta duit akan hilang,” katanya. Samion berkata, kejadian sebegitu berlaku di suraunya dan mendakwa kejadian yang sama juga berlaku di beberapa masjid dan surau di sekitar bandar raya ini. “Kini, Surau An Nur kerap kehilangan duit tabung masjid yang diletakkan di setiap saf terutamanya pada hari Jumaat di samping peti yang dirantai dan empat tabung besar yang terdapat dalam masjid. “Saya percaya kecurian ini merupakan jenayah terancang kerana kebanyakan tabung yang diletakkan di bahagian sudut berhampiran dinding ketika jemaah menunaikan solat akan hilang. “Tabung juga akan hilang sekiranya diletakkan di luar kawasan surau memandangkan jemaah menunaikan solat Jumaat di bahagian luar berikutan kehadiran jemaah yang ramai,” katanya. Samion berkata, selepas menunaikan solat Jumaat, kakitangan masjid akan mengumpul tabung yang diedarkan dan terkejut kerana setiap minggu tabung yang diletakkan akan hilang. “Setelah dicari, kebanyakan tabung akan dijumpai di longkang berhampiran surau tanpa mempunyai wang lagi,” katanya. “Bagi mengatasi masalah itu, pihak surau akan meminta bantuan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) di kawasan luar masjid terutamanya pada hari Jumaat untuk memantau keadaan masjid manakala di kawasan dalam masjid pula, kita akan mengadakan skuad pemantau. “Surau ini bukan sahaja menjadi mangsa curi tabung kerana kadang- kadang basikal milik jemaah juga dicuri,” katanya. Sementara itu, Nazir Masjid Al Ehsan, Seksyen 24, Badarudin Dawam berkata, masalah kecurian duit tabung masjid kerap berlaku di masjid itu setiap kali solat Jumaat, sejak akhir- akhir ini. “Kejadian berlaku secara berturut- turut dan mengejutkan kakitangan masjid kerana setiap kali membuat pengiraan untuk disimpan di peti yang disediakan kami mendapati tabung kosong dan ada kalanya tabung yang dikumpul tidak mencukupi. “Untuk mengatasi masalah itu, pemantauan yang lebih kerap dilakukan dan pengumuman akan dibuat untuk meminta pencuri duit itu memulangkan semula wang yang diambil dengan menyatakan pihak masjid menunaikan solat hajat,” katanya. Menurutnya, penjenayah mengambil kesempatan dengan melarikan duit yang terdapat dalam tabung ketika menunaikan solat Jumaat dan berharap kegiatan ini dihentikan kerana duit tabung itu di kumpul untuk melakukan aktiviti masjid. http://www.sinarharian.com.my/selangor/content/story7732877.asp
Wednesday, May 26, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment