Saturday, May 15, 2010

Remaja DiSeret

Remaja diseret 100 meter
Gambar Hiasan
Oleh MOHAMAD DANIAL MOHAMAD SAAD

am@hmetro.com.my
NIBONG TEBAL: Seorang remaja maut dalam keadaan ngeri apabila tubuhnya digilis sebelum diseret sebuah lori lebih 100 meter selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya di Jambatan Sungai Kerian, dekat sini, malam kelmarin. Ooh Jun Liang, 18, dari Taman Tangling Jaya, Simpang Ampat, dekat sini, yang baru 30 minit keluar dari rumahnya, mati serta-merta di tempat kejadian selepas kepalanya hancur dan sebahagian badannya bertaburan di jalan raya akibat digilis tayar lori. Bapa mangsa, Ooh Teck Wong, 57, berkata anaknya keluar dari rumah jam 8 malam untuk pergi bekerja di sebuah pusat snuker di Taman Fajar, dekat sini, berikutan waktu bekerjanya bermula jam 9 malam sehingga lewat malam. “Anak saya baru bekerja dua minggu di Taman Fajar dan membawa bekal makanan yang dimasak ibunya. “Saya terkejut dan sedih selepas menerima panggilan bahawa anak saya maut dalam kemalangan jalan raya kerana dia baru saja keluar dari rumah tidak sampai 30 minit,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik dan Bilik Mayat HSB, di sini, kelmarin. Menurutnya, anak sulung daripada tiga beradik itu bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Ampat adalah seorang yang rajin dan motosikal yang digunakan itu dibelinya sendiri. Ooh yang bekerja sebagai peniaga buah-buahan berkata, anak sulungnya adalah satu-satunya harapan bagi mereka sekeluarga. Sementara itu, Ketua Polis Seberang Perai Selatan, Superintendan Safieen Mamat, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa cuba memotong dari arah kiri dan gagal dikawal apabila motosikalnya bergesel dengan lori terbabit. Katanya, mangsa kemudian terjatuh dan diseret kira-kira 100 meter oleh lori berkenaan dan mati di tempat kejadian. “Pemandu lori kilang beras di Nibong Tebal itu kemudian dibawa rakannya ke balai polis sejurus selepas kejadian untuk membuat laporan. “Kemalangan ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya sambil meminta orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah SPS di talian 04-5932222 bagi membantu siasatan. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Remajadiseret100meter/myMA/myArticle/

No comments:

Post a Comment