Saturday, May 22, 2010

Untung Atas Angin

Untung atas angin
Gambar Hiasan
Oleh Fuad Hadinata Yaacob
NIBONG TEBAL: Hanya bermodalkan antara RM1 sehingga RM4, kumpulan pemandu lori ‘dajal’ mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan membeli resit tol palsu daripada sindiket yang beroperasi di sebuah rumah kedai di Taman Keramat Permai, di sini.Bagi satu perjalanan sehala melalui Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dari Plaza Tol Juru, Pulau Pinang ke Skudai, Johor, yang bayaran tolnya RM175.30 (bagi kelas 3), pemandu hanya perlu membayar RM4 untuk memperolehi resit tol palsu sebelum membuat tuntutan di syarikat masing-masing. Pemandu lori berkenaan yang menggunakan jalan lama menuju ke destinasi dituju hanya perlu singgah di sebuah rumah kedai di tepi jalan utama yang beroperasi dari jam 6 pagi sehingga jam 12 tengah malam untuk mendapatkan resit tol Plus atau resit tol lebuh raya Shapadu dengan mudah. Begitupun, taktik licik sindiket berkenaan terbongkar selepas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Selatan (SPS) membuat serbuan. Dalam serbuan hasil maklumat awam itu, polis menemui sebuah komputer peribadi, sejumlah gulungan resit palsu dan gulungan kertas resit yang masih kosong, mesin pencetak serta mesin pengira. Ketua Polis Daerah SPS, Superintendan Shafien Mamat, berkata polis turut menahan seorang wanita warga Indonesia berusia 34 tahun yang bekerja sebagai kerani serta dua lelaki berusia 48 dan 52 tahun, dipercayai majikan wanita itu dan pemandu lori. Menurutnya, dalam serbuan itu, polis merampas gulungan kertas resit untuk tol Plus, sebuah komputer, wang tunai kira-kira RM500, mesin pencetak dan dua jadual perjalanan Plus. “Dari Plaza Tol Juru ke Ipoh misalnya, bayaran untuk kenderaan kelas 3 ialah RM33.60 tetapi dengan bayaran antara RM1 hingga RM4 untuk setiap resit tol palsu, pemandu lori boleh mendapat untung berkali ganda. “Siasatan awal polis mendapati tiada laporan atau rekod pembeli ditemui dan percaya sindiket ini mensasarkan pemandu lori dan kenderaan berat,” katanya pada sidang media di sini semalam. Shafien berkata, bukan saja pemandu lori mendapat keuntungan berganda tetapi sindiket juga memperoleh pendapatan kira-kira RM400 sehari atau RM12,000 sebulan sejak bergerak aktif 14 bulan lalu. Menurutnya, resit palsu dan asli sukar dibezakan dan polis masih menyiasat sama ada sindiket ini ada kaitan dengan syarikat yang membekalkan mesin untuk mencetak resit tol Plus atau Shapadu. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Untungatasangin/Article

No comments:

Post a Comment