Wednesday, May 12, 2010

Menyentuh Hati

Rupanya dia adik saya
Oleh Zaitie Satibi
KUANTAN: Amat menyentuh hati apabila dua lelaki yang tinggal berjiran di Kampung Razali di sini selama 21 tahun tidak menyedari mereka sebenarnya adik-beradik tiri yang terpisah selepas ibu mereka berkahwin lain.Menceritakan semula detik pertemuan bersejarah itu, Rozak Mohd, 65, berkata dia mendapat tahu mengenai hubungan persaudaraan dengan jiran, Azizi Hamzah, 44, yang menetap di sebelah rumahnya itu selepas menghadiri pengebumian adik tiri, Mek Mah Che Ibrahim di Kemaman, Terengganu, Disember lalu. Menurut Rozak, bapanya meninggalkan dia dan ibunya ketika dia baru belajar merangkak sebelum ibunya berkahwin semula dan dikurniakan dua lagi anak. “Apa yang saya tahu, saya hanya ada dua adik tiri iaitu Mek Mah dan Zainuddin hasil perkahwinan kedua ibu, Mek Som Awang dengan Che Ibrahim.
“Saya tidak tahu jika ibu berkahwin kali ketiga kerana saya tidak pernah menemuinya lagi berikutan saya diambil ibu saudara untuk dipelihara,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam. Rozak berkata, dia mendapat tahu mempunyai adik tiri lain hasil perkahwinan ketiga ibunya selepas dimaklumkan anaknya, Rosli, 34. “Sekembalinya kami ke rumah sebaik upacara pengebumian selesai, anak saya memberitahu bapa saudaranya, Zainuddin ada menceritakan kepadanya saya ada adik tiri yang menetap di Kuantan. “Zainuddin turut memberitahu adik tiri kami baru saja bersara sebagai askar dan kini menjual ikan, selain memberitahu bagaimana rupa parasnya. Daripada cerita itu, saya menyedari ciri yang disebut itu menyamai jiran lelaki yang menetap di sebelah rumah,” katanya. Katanya, dia memberanikan diri ke rumah jirannya pada suatu hari selepas beberapa hari gelisah memikirkan kesahihan maklumat yang disampaikan anaknya, selain ingin mendapatkan kepastian. “Ketika menemuinya, Azizi berada dalam kereta hendak keluar bekerja sebelum saya memintanya keluar dari kereta kerana ada hal yang hendak dibincangkan. “Azizi terkejut dan terpinga-pinga apabila saya terus memeluknya dan menangis tiba-tiba sebelum menceritakan perkara sebenar bahawa dia adalah adik tiri saya,” katanya. Sementara itu, Azizi berkata, mulanya dia tidak percaya dengan berita yang disampaikan Rozak sebelum menghubungi abang tiri, Zainuddin bagi mendapatkan kepastian.
“Saya memang terkejut dengan kejadian yang tidak diduga ini, namun akhirnya percaya selepas disahkan sendiri oleh Zainuddin. “Kami kemudian bercerita mengenai kisah keluarga masing-masing bagi merungkai salasilah adik-beradik lain sekali gus menjawab persoalan mengapa kami tidak pernah bertemu sebelum ini,” katanya. Azizi berkata, ibunya menetap di Bachok, Kelantan, bersama bapanya yang juga suami ketiga dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan lapan anak. “Saya hanya tahu ada seorang kakak dan seorang abang tiri, tetapi tidak tahu ada lagi seorang abang tiri kerana ibu tidak pernah menceritakan kisah anak pertamanya kepada saya. “Rahsia itu ibu pendam sampai dia meninggal dunia pada 1995, manakala saudara tiri juga tidak pernah menceritakan mengenai abang tiri sulung kepada saya,” katanya. Katanya, dia memang tidak menyangka kejadian itu yang dianggap pelik berlaku dalam hidupnya selama dia tinggal berjiran dengan Rozak yang juga bekas pekerja Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) “Hampir setiap hari kami bertemu kerana rumah kami hanya sebelah-menyebelah. Malah, kami juga bertemu setiap kali ada majlis keraian anjuran penduduk. “Kami juga saling mengunjungi jika masing-masing mengadakan kenduri. Lebih pelik, apabila kami tidak pernah bertemu dalam satu majlis yang turut dihadiri saudara tiri yang mengenali kami menyebabkan rahsia ini terus terpendam,” katanya. Azizi berkata, bagi mengeratkan semula hubungan kekeluargaan mereka bercadang mengadakan majlis kesyukuran pada bulan depan dan mengumpulkan semua adik-beradik. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Rupanyadiaadiksaya/Article

No comments:

Post a Comment