Sunday, May 9, 2010

Kaki Tersepit Dalam Tandas

Kaki budak tersepit dalam tandas

Gambar Hiasan

KANGAR: Kehairanan seorang ibu melihat anak lelakinya mengambil masa lama membuang air besar akhirnya terjawab apabila mendapati kaki kanak-kanak itu tersepit dalam mangkuk tandas di rumahnya di Kampung Wang Ulu, dekat sini, petang kelmarin. Selepas setengah jam berhempas pulas seorang diri, akhirnya pelajar Tahun Tiga Sekolah Rendah Kebangsaan Putra itu, bersuara memanggil ibunya, Ku Bariah Ku Hamid, 38, untuk mendapatkan pertolongan mengeluarkan kakinya. Usaha selama dua jam keluarga berkenaan dengan penduduk kampung mengeluarkan kaki Mohd Asraf tidak berhasil sebelum mereka menghubungi Pasukan Bomba dan Penyelamat Kangar, kira-kira jam 7.30 petang. Ku Bariah berkata, dia yang berada di dapur rumah, melihat kelibat kepala anaknya terhuyung-hayang ke kiri kanan ketika dia mencangkung membuang air besar dalam tandas bersebelahan. “Saya pelik melihat Mohd Asraf duduk lama dalam tandas dengan kepala berpusing ke kanan dan kiri. Dia pendiam dan tidak memaklumkan kakinya tersepit dalam mangkuk tandas. “Selepas setengah jam, baru dia bersuara minta tolong dan saya cuba mengeluarkan kaki kanannya dari mangkuk tandas tetapi tidak berjaya,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam. Ku Bariah bersama suaminya, Azmi Talib, 38, yang mempunyai lima anak menetap di rumah serba daif di Kampung Wang Ulu. Kedudukan tandas dan dapur hanya dipisahkan sekeping papan nipis serta mempunyai satu bilik tidur manakala struktur rumah tidak kukuh. Sementara itu, Azmi berkata, dia bersama penduduk kampung menggunakan pelbagai cara, termasuk memasukkan sabun dan syampu untuk mengeluarkan kaki Mohd Asraf, tetapi tidak berjaya. “Mohd Asraf menjerit kesakitan apabila kakinya ditarik dan dia juga keletihan kerana berada lama dalam tandas. Beberapa penduduk kemudian menghubungi bomba untuk membantu,” katanya. Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba Kangar diketuai Pegawai Operasi, Zainal Abidin Ahmad, mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memecah mangkuk tandas bagi mengeluarkan kaki kanak-kanak terbabit. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kakibudaktersepitdalamtandas/myMA/myArticle

No comments:

Post a Comment