Mencari ketenangan di Lubuk Yu
Air terjun di Lubuk Yu yang mengalir deras sangat menarik untuk pengunjung mandi-manda.
Air terjun di Lubuk Yu yang mengalir deras sangat menarik untuk pengunjung mandi-manda.
MARAN- Pahang memang kaya dengan destinasi pelancongan yang menarik. Antara kawasan pelancongan yang semakin mendapat tempat di hati pengunjung ialah air terjun Lubuk Yu.Namanya agak unik kerana ia mungkin diambil berikutan kesan air terjun yang berbentuk huruf U.Selama ini pun, kawasan rekreasi Lubuk Yu memang terkenal terutama di kalangan penduduk tempatan termasuk warga Felda Wilayah Jengka dan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Khazanah Alam, Jengka dekat sini.Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan rekreasi itu mendapati Lubuk Yu sering menjadi tumpuan orang ramai terutama pada hujung minggu.Sambil bersantai dan mandi-manda, pengunjung dapat mendengar bunyi unggas serta kicauan burung seperti pipit, punai, merbah, enggang dan serindit.Selain keindahan semula jadinya, Lubuk Yu mempunyai pelbagai kemudahan untuk orang ramai termasuk tempat letak kenderaan, gerai, surau, kawalan keselamatan dan tandas.Untuk ke Lubuk Yu, pengunjung perlu melalui jalan kebun getah sejauh dua kilometer yang dibina Majlis Daerah Maran (MDM) berhampiran Loji Felda Hulu Jempol sehingga ke kaki Gunung Berantai.Pengunjung dari luar daerah Maran juga boleh melalui Jalan Maran-Jerantut atau Jalan Bandar Jengka-Felda Hulu Jempol untuk ke Lubuk Yu.Beberapa pengunjung yang ditemui menyifatkan Lubuk Yu sangat sesuai sebagai destinasi perkelahan dan bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan pada hujung minggu serta hari kelepasan am.Hailmie Ikhsan, 38, yang sering berkunjung ke situ mengakui Lubuk Yu merupakan kawasan perkelahan menarik, indah selain mempunyai sungai yang jernih sesuai untuk mandi-manda.Katanya, kekayaan flora dan fauna menjadi kekuatan kepada Lubuk Yu untuk menjadi pilihan orang ramai sebagai tempat menenangkan fikiran dan melupakan seketika tugasan di pejabat.''Kawasan ini amat sesuai untuk dibangunkan sebagai sebuah lagi destinasi pelancongan menarik selain penambahbaikan dari segi kemudahan infrastruktur bagi keselesaan pengunjung,'' katanya.Seorang peneroka Felda Jengka 16, Ibrahim Ghazali, 62, mencadangkan Lubuk Yu dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri sebagai usaha mendedahkan keistimewaan kawasan itu kepada pencinta alam sekitar dan penggemar aktiviti lasak.''Penggemar aktiviti lasak boleh mendaki beberapa tangga semula jadi air terjun Lubuk Yu hingga ke puncak Gunung Berantai yang menjanjikan pelbagai keistimewaan fauna dan flora di kawasan berkenaan,'' katanya.Ketua Kampung Kuala Sentol, Asri Mat Piah, 42, berkata, Lubuk Yu kini menjadi tumpuan warga Felda dan penduduk kampung melepaskan lelah setelah puas mencari rezeki sepanjang minggu.Menurutnya, kehadiran semakin ramai pengunjung dari semasa ke semasa secara langsung dapat menjana ekonomi penduduk setempat terutama pada hujung minggu dan hari kelepasan am. ''Pada masa sama, MDM perlu segera menaik taraf kawasan ini dengan menambah tempat letak kenderaan, zon perniagaan, surau, kawalan keselamatan dan tandas," katanya.Ketua Pemuda MCA Sungai Jerik, Yaw Ka Chin, 40, pula mahu pengunjung menjaga kebersihan alam sekitar dengan tidak membuang sampah di merata tempat atau memusnahkan flora dan fauna di Lubuk Yu. ''Pengunjung bukan sahaja berpeluang bersantai sambil mandi-manda di Lubuk Yu yang dingin tetapi juga dapat melihat fauna yang terdiri daripada serangga dan unggas kecil yang sukar ditemui di tempat lain.''Pengunjung perlu menjaga keceriaan alam sekitar di Lubuk Yu supaya kita dapat bersantai dengan selesa tanpa terganggu dengan persekitaran yang kotor atau berbau busuk," tegasnya.Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsudin mengakui Lubuk Yu kaya dengan fenomena alam semula jadi yang mengasyikkan.Keindahan hutan semula jadi dan air sungai yang mengalir deras melalui jeram, katanya, sangat sesuai untuk beriadah dan bersantai bersama keluarga serta rakan-rakan. Menyedari potensi besar Lubuk Yu itu, jelasnya, ia mendorong Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentol dan MDM memohon peruntukan khas sebanyak RM3 juta daripada Kementerian Pelancongan bagi menaik taraf kawasan berkenaan.''Peruntukan itu sangat perlu bagi membolehkan MDM menaik taraf kawasan Lubuk Yu sebagai destinasi pelancongan bertaraf nasional," jelasnya.
No comments:
Post a Comment