Tuesday, May 25, 2010

Kempunan Makan Burger

Jengah pusara ayah
Oleh Khairulmizan Yahya
KUANTAN: “Kejadian itu berlaku begitu pantas dan dalam sekelip mata saja sebuah kereta dipandu laju merempuh Najihah menyebabkan genggaman tangannya terlepas dari tangan saya sebelum diseret sejauh kira-kira 100 meter,” kata Nurfazlinda Wahab, 15, sepupu kepada Nurul Nor Najihah Zamri, 12, yang maut dalam kemalangan ngeri di Kampung Peramu di sini, malam kelmarin.Kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam ketika mangsa berpimpin tangan bersama sepupunya untuk melintas menuju ke gerai burger di seberang jalan sebelum mangsa dirempuh sebuah kereta jenis Proton Iswara. Lebih menyayat hati apabila mangsa turut diseret sejauh kira-kira 100 meter dan kejadian itu disaksikan ibu mangsa yang bekerja di kedai makan berhampiran tempat kejadian. Fazlinda berkata, sebelum kejadian, mangsa merengek mahu membeli burger dan dia bersetuju menemaninya pergi ke gerai burger tidak jauh dari kedai makan tempat ibunya bekerja. “Saya juga bersetuju menemani dia berjumpa ibunya untuk mengambil minuman selepas membeli burger,” katanya ketika ditemui Harian Metro di kediaman mangsa di sini, malam kelmarin. Katanya, ketika hendak melintas jalan, mangsa berjalan di depan sambil dia memimpin tangannya sebelum sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 30-an merempuh dan menyeret mangsa. “Saya hanya mampu menjerit sambil mengejar kereta terbabit sebelum ia berhenti dan ibu Najihah yang melihat kejadian itu turut menjerit dan berlari menuju ke arah kereta terbabit. “Pemandu kereta berkenaan kemudian turun dan melarikan diri ke balai polis berhampiran sejurus melihat arwah berada di bawah keretanya dalam keadaan parah di muka,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu. Katanya, mangsa yang tidak sedarkan diri dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan. Sementara itu, abang mangsa, Mohd Hanafi, 19, berkata mangsa anak bongsu daripada lima beradik dan seorang yang periang dan suka berceloteh. “Namun, sejak Khamis lalu, mangsa berkelakuan pelik apabila tiba-tiba mengajak sepupunya menziarahi kubur arwah bapa dan mereka pergi ke sana tiga hari berturut-turut. “Saya agak pelik dengan perubahan sikap arwah itu, namun tidak menyangka ia petanda yang arwah akan pergi untuk selama-lamanya,” katanya. Hanafi berkata, dia terkilan dengan sikap tidak bertanggungjawab lelaki yang melanggar adiknya itu kerana tidak berusaha membantu mengeluarkan mangsa dari bawah keretanya sebaliknya melarikan diri. Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Peramu di sini, kira-kira jam 10 pagi semalam. Sementara itu, Ketua Trafik daerah, Asisten Superintendan Goh Ewe Gee mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jengahpusaraayah/Article

No comments:

Post a Comment