Wednesday, May 12, 2010

Sumbat 37 Murid Dalam Van Buruk

Sumbat 37 murid dalam van buruk
SUNGAI GETAH- Dapatkah anda bayangkan bagaimana sebuah van sekolah berjaya memuatkan seramai satu kelas murid sekolah dalam satu masa, iaitu memuatkan 37 murid dalam satu ‘trip’ mengambil dan menghantar murid ke sekolah? Bagaimana pula dengan aspek keselamatan yang diterapkan sepanjang perjalanan menghantar dan mengambil murid sekolah oleh pengusaha van sekolah berkenaan dengan penumpangnya terperosok dan berhimpit? Apakah akan terjadi sekiranya berlaku kemalangan yang tidak diduga, tambahan pula keadaan van sekolah berkenaan teruk dengan kusyen kerusinya hanya tinggal kerangka besi sahaja? Begitulah kerisauan yang menghantui ibu bapa murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungai Getah hingga menyebabkan mereka melaporkan kegiatan van sekolah berkenaan kepada Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri. Pengarah JKJR negeri, M Surentharan berkata, hasil laporan ibu bapa dan waris murid sekolah berkenaan, pihaknya segera membuat pemantauan terhadap aktiviti van sekolah itu hingga membawa kepada intipan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) dan media dalam Operasi Sekolah yang diadakan kelmarin. Menurutnya, pemandu van sekolah itu dapat mengesan kehadiran mereka dan cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan JKJR dan dia sendiri terkejut apabila mendapati seramai 37 murid sekolah berkenaan berada di dalam van itu untuk dihantar ke rumah masing-masing sekitar kawasan ini selepas waktu sekolah. “JKJR membuat pemantau dan tindakan segera hasil laporan daripada ibu bapa dan waris murid demi keselamatan nyawa mereka sebelum sebarang kemalangan berlaku. “Hasil menahan van itu, JKJR mendapati pemandu van iaitu seorang wanita membawa lebih muatan, tidak mempunyai permit van sekolah serta cukai jalan,” katanya. Malah lebih mengejutkannya, keadaan van berkenaan terlalu teruk apabila ada antara kerusinya sudah tidak mempunyai kusyen dan hanya tinggal kerangka besi serta murid-murid yang dimuatkan dalam van itu terperosok, berhimpit bagaikan ‘sardin’ dalam tin. Surentharan berkata, hasil pemeriksaannya mendapati van jenis Isuzu itu tidak diselenggara dengan baik apabila tayar hadapannya sudah rosak hingga menampakkan benang tayar dan hanya menunggu masa untuk ‘meletup’. “Keadaan ini serius demi keselamatan murid sekolah ini dan tindakan mahkamah diambil terhadap pemilik van berkenaan kerana kesalahan yang dikesan dan JKJR sendiri bertemu dengan guru besar sekolah ini untuk memberikan nasihat serta minta pihak sekolah melakukan pemantauan pada masa akan datang,” katanya. Selain van itu, sebuah lagi van sekolah ditahan atas kesalahan sama dan turut diambil tindakan. Dalam perkembangan sama, seorang penoreh getah, M Mariappan, 40, berkata, seorang daripada lima anaknya yang bersekolah di sekolah berkenaan turut menumpang van berkenaan dengan yuran bulanan sebanyak RM25. “Saya sedia maklum mengenai keadaan van itu yang membawa lebihan penumpang, tidak mempunyai permit dan cukai jalan, namun saya tidak boleh berbuat apa memandangkan kesibukan kerja untuk menghantar anak ke sekolah. “Saya pernah menasihati pemandu van mengenai hal ini, namun tidak diendahkannya malah pemandu van ini pernah ditahan JPJ sebelum ini tetapi masih tidak serik,” katanya yang tinggal di Taman Bandar Baru Sungai Lalang. Dalam perkembangan lain, guru besar sekolah berkenaan yang enggan namanya disiarkan memberikan alasan bahawa dia baru sahaja ditukarkan ke sekolah itu dan sudah mengambil tindakan dengan memberikan nasihat kepada pemandu van berkenaan dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG). Menurutnya, sebanyak tiga van sekolah yang beroperasi menghantar dan mengambil murid dari sekolah berkenaan dan selebihnya, ibu bapa dan waris murid sendiri mengambil dan menghantar anak mereka. “Saya sudah memberi amaran, namun pemilik van memberikan alasan bahawa van baru masih dalam proses untuk dicat,” katanya. Jurucakap JPJ berkata, pemilik van berkenaan perlu hadir ke Mahkamah Majistret di sini pada 12 Julai atas kesalahan cukai jalan yang sudah tamat tempoh pada 17 Januari lalu dan tiada permit van sekolah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1997. Sementara itu, Surentharan berkata, Ops Sekolah yang disertai lima pegawai JKJR dan lima pegawai JPJ ini akan diadakan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi memantau operasi van sekolah demi keselamatan murid-murid. http://www.sinarharian.com.my/utr/content/story7678182.asp

No comments:

Post a Comment