Thursday, May 20, 2010

Khasiat Air Kuda Laut

Petua tiru suara Siti
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
RAWANG: Bunyinya agak tidak masuk akal apabila seorang pelajar perempuan sebuah kolej swasta sanggup meneguk air rebusan kuda laut selama sebulan selepas diyakinkan seorang pengamal perubatan tradisional kononnya petua itu mampu membuat suaranya lunak seperti penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin. Teruja dengan kata bomoh lelaki berusia 50-an itu, gadis berusia 21 tahun terbabit yang kerap kecundang ketika menghadiri uji bakat rancangan realiti televisyen akhirnya ditipu RM1,200 selepas diminta dukun kelentong itu sebagai bayaran pengeras. Petua tidak lojik itu yang diamalkan gadis terbabit sejak awal April lalu hanya menyebabkan dia menderita, apatah lagi apabila turut diarah mengamalkan satu lagi kaedah pelik iaitu berkumur dengan cuka kononnya untuk melembutkan lidah. Mangsa mahu dikenali sebagai Lia berkata, kekecewaan kerana acap kali gagal ujian saringan program realiti televisyen sejak setahun lalu menyebabkan dia tidak berputus asa dengan pelbagai cara, antaranya mengikuti latihan vokal. “Mungkin kerana terlalu ghairah untuk menjadi artis menyebabkan saya tak pernah lepas menyertai uji bakat pelbagai program realiti seperti Akademi Fantasia (AF), Mentor dan MyStarz LG dan seumpamanya. “Namun, selepas dua tahun mencuba nasib, impian saya sering kali terkandas walaupun berasakan sudah melakukan segalanya yang terbaik,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Menurutnya, pada satu hari April lalu, dia dipujuk seorang rakan bertemu pengamal perubatan tradisional di Gombak kononnya mampu menyelesaikan apa juga masalah melalui kaedah mistik. “Pada mulanya saya kurang yakin (dengan keupayaan bomoh) dan pertemuan jam 9 malam dengan bomoh itu hanya satu ikhtiar semata-mata. Lelaki setengah abad itu dilihat hanya kumat-kamit sambil memegang keris pendek kira-kira lima minit sebelum bertanyakan hajat saya,” katanya. Selepas memberitahu hajatnya, bomoh terbabit hanya tersenyum sebelum mengarahkan pembantu wanita membawakan kotak kayu kecil mengandungi satu bungkusan plastik jernih.“Selepas diamati, saya dapati plastik berkenaan mengandungi kuda laut yang sudah diawet. Bomoh itu beritahu suara saya akan jadi lebih ‘sedap’ dan merdu jika mengamalkan petua meminum air rebusan kuda laut itu yang sudah terlebih dulu dijampi,” katanya. Menurutnya, agak melucukan apabila bomoh terbabit mendakwa suaranya akan menjadi merdu seperti Siti Nurhaliza atau sekurang-kurangnya setanding Misha Omar jika mengamalkan arahan diberikannya. “Saya disuruh meminum air rebusan kuda laut kering setiap petang selain ditegah makan pucuk labu, timun serta minuman bergas dan berais sepanjang sebulan. Malah, bomoh berkenaan turut mengarahkan saya rajin berkumur dengan cuka. “Bagaikan orang bodoh yang tidak mampu berfikir waras, saya lantas mengikut saja arahan lelaki itu dengan mengamalkan petua diberikan. Malah pada masa sama, saya turut membayar RM1,200 seperti diminta bomoh berkenaan atas alasan bagi memastikan amalan dilakukan berhasil,” katanya. Namun, Lia mendakwa, selepas sebulan mencuba, tiada sebarang perubahan dirasai sebaliknya tekaknya menjadi perit selain sukar menelan air liur, lalu menghubungi bomoh terbabit, namun dia mengarahkan meneruskan amalan itu sehingga dua bulan. “Apabila saya meminta wang pengeras dikembalikan kerana amalan diberikan tidak berhasil, lelaki itu sebaliknya menuduh saya pernah melanggar pantang-larang diberikan,” katanya. Katanya, dia yang tidak puas hati diperdaya pernah ke rumah bomoh itu, namun ia sudah kosong seolah-olah ditinggalkan. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PetuatirusuaraSiti/Article

No comments:

Post a Comment